LZS LANCAR KEMPEN TAKSIR DAN BAYAR ZAKAT PERNIAGAAN



SHAH ALAM, 16 April 2013 – Bagi menggalakkan lebih ramai usahawan dan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tampil menunaikan kewajipan zakat perniagaan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Kempen Taksir Zakat Perniagaan yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Kutipan LZS, Roszy Non.

Kempen dilancarkan di hadapan 70 orang usahawan dan peniaga IKS di program Bengkel Zakat Perniagaan di sini hari ini.

Kempen Taksir Zakat Perniagaan merupakan kesinambungan daripada kempen yang diadakan pada penghujung tahun 2012, bertujuan menggalakkan usahawan dan peniaga IKS menaksir zakat perniagaan mereka dan secara tidak langsung mendidik mereka melaksanakan kewajipan berzakat.

Kempen yang melibatkan dua fasa ini, turut menawarkan hadiah kepada pembayar zakat perniagaan yang bertuah dan ia bermula pada 15 April ingga 30 Jun untuk fasa pertama, manakala fasa kedua pula bermula pada 1 September hingga 30 November. Borang penyertaan dan taksiran zakat boleh didapati di semua cawangan LZS.

Dalam majlis yang sama, 10 pemenang utama bagi Kempen Taksir Zakat Perniagaan 2012 diraikan. Kempen yang berlangsung pada November hingga Disember 2012 telah menarik penyertaan daripada 29 buah syarikat.