LZS LANCAR BZNS UNTUK TINGKAT KESEDARAN BERZAKAT



Ampang –Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan rasminya melancarkan Bulan Zakat Negeri Selangor (BZNS) sempena kempen membayar zakat secara besar-besaran dengan tema ‘Semestinya Berkat’ bersempena bulan Muharram 1428 Hijrah yang disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, di sini pada 20 Januari.

Kempen selama sebulan ini diadakan khusus bagi menggalakkan umat Islam di negeri Selangor membayar zakat pada bulan Muharram, iaitu bulan pertama dalam kalendar Islam. Kebiasaannya bulan Ramadan dan Disember menjadi pilihan pembayar kerana keberkatan dan cukup tempoh setahun kalendar masihi.

Pelbagai program telah diatur selama sebulan melibatkan aktiviti dakwah secara terus kepada orang ramai serta pembelaan asnaf melalui program-program amal dan kebajikan. Antaranya majlis mesra bersama majikan swasta dan kerajaan, acara riadah bersama media, hari bersama pelanggan serta malam sayembara zakat.

Manakala program amal seperti misi bantuan mangsa banjir negeri Johor, ziarah asnaf bersama warga korporat, ziarah muallaf di Pulau Ketam, gotong-royong rumah asnaf serta pembukaan pusat dialisis untuk fakir miskin turut diadakan. Skuad Dakwah Zakat LZS (MAIS) akan bergerak ke seluruh Selangor bagi mewar-warkan BZNS serta mengedarkan risalah zakat. Maklumat lanjut tentang BZNS boleh didapati melalui talian 03-5522 7777.

Turut hadir sempena majlis sambutan Maal Hijrah dan pelancaran BZNS ini ialah, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr.Mohamad Khir Toyo, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ramli Mahmud, Exco Kerajaan Negeri, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta Pengarah JAIS, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi.