LZS LAKSANA SKUAD JEJAK KEMISKINAN ATASI KEMISKINAN BANDAR



SHAH ALAM, 18 Oktober – Bagi meneruskan usaha menangani kemiskinan terutamanya di
kawasan bandar, Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menjejaki golongan fakir serta
miskin melalui program turun padang yang dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK).
Melalui SKJ mereka yang dikenalpasti layak sebagai asnaf fakir atau miskin akan
diluluskan untuk menerima bantuan zakat dengan serta merta.
Program ini telah bermula pertengahan September lalu juga bertujuan mengenalpasti
golongan fakir dan miskin yang tidak berdaftar dengan LZS, yang kebanyakannya tidak tahu
bagaimana dan dimana perlu memohon bantuan.
Sehingga kini SKJ telah beroperasi di empat lokasi iaitu di Projek Perumahan Rakyat
Termiskin (PPR) Lembah Subang, Kota Damansara, Seksyen 27 Shah Alam serta Puchong
Permai, Puchong.
Melalui empat lokasi ini seramai 3,509 keluarga telah disiasat dan 333 daripadanya layak
didaftarkan sebagai asnaf fakir miskin. Daripada jumlah ini 88 keluarga dikenalpasti layak
menerima bantuan kewangan bulanan sementara yang lain menerima bantuan yang
bersesuaian dengan masalah mereka seperti bantuan pendidikan, sakit kronik, hutang,
modal perniagaan serta bantuan tahunan (hari raya).
Hari ini SJK diteruskan di PPR di Taman Medan seterusnya di Kampung Lindungan, keduaduanya
di Petaling Jaya. Dengan tema “Kami Sedia Membantu” SJK yang melibatkan
seramai hampir 50 orang pegawai zakat akan membuat siasatan secara terus dari rumah ke
rumah di satu-satu lokasi. Penduduk diminta mengisi borang bancian dan akan disiasat
serta merta sebelum permohonan mereka diproses untuk menentukan kelayakan.
Dengan kerjasama pemimpin setempat, jawatankuasa penduduk, masjid dan surau program
ini dapat dilaksanakan dengan lancar, dimana bilik gerakan turut disediakan bagi
memudahkan urusan berkaitan seperti pengesahan dokumen.

Leave a Reply