LZS KUTIP ZAKAT RM451 JUTA DAN AGIH RM401.8 JUTA TAHUN 2012



SHAH ALAM, 22 Januari 2013 – Kutipan zakat di Negeri Selangor pada tahun lepas meningkat sebanyak 14 peratus kepada RM451 juta, manakala agihan zakat pula meningkat lapan peratus kepada RM401.8 juta.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, daripada jumlah itu, RM432.2 juta dikutip daripada zakat harta manakala RM18.8 juta daripada zakat fitrah.

“Jumlah pembayar zakat harta bagi 2012 ialah seramai 210,723 orang iaitu peningkatan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya dan daripada jumlah tersebut sebanyak 44,488 orang merupakan pembayar baru di LZS,” katanya pada sidang akhbar pencapaian prestasi kutipan dan agihan zakat 2012 di sini hari ini.

Dato’ Adzib berkata, pada tahun lalu, sebanyak RM139.6 juta diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin, diikuti asnaf mualaf sebanyak RM23.1 juta. Manakala bagi asnaf fisabilillah sebanyak RM140.2 juta, RM56.4 juta (asnaf amil), RM33.8 juta (asnaf gharimin), RM6.8 juta untuk asnaf riqab dan RM1.8 juta asnaf ibnu sabil.

Jelasnya lagi, seramai 26,069 keluarga asnaf fakir dan miskin menerima bantuan zakat dari LZS. Daripada jumlah asnaf tersebut, 932 keluarga ditemui dan didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin melalui program Skuad Jejak Kemiskinan (LZS).

Sementara itu, seramai 219 orang penerima bantuan zakat telah berjaya keluar daripada kategori asnaf. Mereka ini terdiri daripada penerima bantuan modal perniagaan yang disediakan oleh LZS.