LZS KONGSI MAKLUMAT AGIHAN BERSAMA NIKKI SYUHADA GROUP WEALTH ADVISORS



SHAH ALAM – Bagi meyakinkan masyarakat terhadap pengagihan zakat yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), satu taklimat bersama Nikki Syuhada Group (NSG) Wealth Advisors telah diadakan di sini pada 3 Julai lalu.

Seramai 35 orang peserta telah menghadiri taklimat ini, yang antara lain berkongsi tentang kepentingan menunaikan zakat yang disampaikan oleh Eksekutif Dakwah LZS, Ustaz Hashim Fikri Ahmad Shauki.

Pada sesi ini, peserta diberi taklimat kepentingan umat Islam menitikberatkan kewajipan terutamanya dalam menunaikan rukun Islam. Ini termasuklah dengan mendidik diri dengan amalan wajib dan sunat terutamanya zakat dan sedekah.

Seterusnya, para peserta didedahkan dengan maklumat berkaitan agihan zakat di Selangor yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof. Antara lain, beliau menyentuh aspek definisi penerima zakat, kaedah LZS mengenal pasti fakir dan miskin serta mekanisme pengagihan zakat di Selangor.

Izam turut megucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian NSG hadir di bengkel ini dan berharap dakwah zakat turut disampaikan kepada mereka yang rapat dengan mereka.