LZS IKTIRAF SUMBANGAN EJEN KORPORAT



SHAH ALAM, 12 Mac 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengiktiraf komitmen dan sumbangan ejen korporat yang membantu menyebarkan dakwah zakat sekali gus meningkatkan kutipan zakat di Selangor, dalam Majlis Anugerah dan Penghargaan LZS 2013. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Wisma PKPS dekat sini.

Pengiktirafan ini khusus untuk mereka terdiri daripada wakil firma audit dan percukaian, syarikat, bank, pejabat pos, penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT), fitrah dan padi. Turut diraikan, syarikat-syarikat korporat yang merupakan pembayar zakat perniagaan dan majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di LZS.

Sebanyak 12 anugerah disampaikan melibatkan Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik bagi tiga kategori iaitu kategori swasta, kerajaan dan badan berkanun, Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik (kategori peratus prestasi kutipan tertinggi dan komitmen terbaik), Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Bank Terbaik, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Penolong Amil IPT Terbaik, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Firma Audit dan Ejen Cukai Terbaik, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Syarikat Terbaik, Anugerah Ejensi Kreatif dan Inovatif Terbaik, Anugerah Penolong Amil Fitrah Terbaik dan Anugerah Penolong Amil Padi Terbaik.

Manakala tiga anugerah khas turut diberikan iaitu Anugerah Umar Al-Khattab (Kategori Potongan Gaji), Anugerah Abdul Rahman bin Auf (Kategori Zakat Perniagaan) dan Anugerah Muaz bin Jabal (Kategori Ejen Kutipan). Setiap penerima anugerah masing-masing menerima plak dan hadiah iringan.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menjenamakan semula perkhidmatan ejen kutipannya dengan melancarkan Kemudahan Pembayaran Zakat Menerusi Ejen. Ia sebagai langkah untuk mempromosikan kemudahan pembayaran zakat yang disediakan oleh ejen kutipan LZS kepada orang ramai.

Hadir sama, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Bakhtiar Hussin, Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazalil Wafa Syed Adwam Wafa dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

SENARAI PENUH PENERIMA ANUGERAH:

  • Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik 2013 (Kategori Swasta): IBM Global Delivery Center (Malaysia) Sdn Bhd
  • Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik 2013 (Kategori Kerajaan): Polis Diraja Malaysia
  • Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik 2013 (Kategori Badan Berkanun): Majlis Perbandaran Sepang
  • Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik 2013 (Kategori Peratus Prestasi Kutipan Tertinggi): Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (M) Berhad
  • Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik 2013 (Kategori Komitmen Terbaik): Kumpulan Emkay
  • Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Bank Terbaik 2013: CIMB Bank
  • Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Penolong Amil ipt Terbaik 2013: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Firma Audit Dan Ejen Cukai Terbaik 2013: Mohammed Zuber B. Hashim (Peninsular Corporate Consultant Sdn Bhd)
  • Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Syarikat Terbaik 2013: Amanah Ikhtiar Malaysia
  • Anugerah Ejensi Kreatif Dan Inovatif Terbaik 2013: Maybank
  • Anugerah Penolong Amil Fitrah Terbaik 2013: Mohd Yusni B. Dahari
  • Anugerah Penolong Amil Padi Terbaik 2013: Kamaruddin B. Mat (Masjid Al-Khairiah Parit 14, Simpang Lima, Sg. Besar)

ANUGERAH KHAS

  • Anugerah Umar Al-Khattab (Potongan Gaji): Majlis Perbandaran Kajang
  • Anugerah Abdul Rahman bin Auf (Zakat Perniagaan): Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
  • Anugerah Muaz bin Jabal (Ejen Kutipan): Pos Malaysia