LZS IKTIRAF KOMITMEN EJEN KUTIPAN ZAKAT



SHAH ALAM, 22 Mac 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraikan ejen kutipan LZS yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menyebarkan dakwah zakat serta membantu meningkatkan kutipan zakat dalam Majlis Penghargaan LZS 2012 di sini.

Mereka yang diraikan ini terdiri daripada daripada syarikat, ejensi, institusi pengajian tinggi (IPT) dan penolong amil yang dilantik oleh LZS bagi membantu mengutip zakat di Selangor. Majlis bertemakan ‘Malam Warna Warni’ telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Sebanyak sembilan anugerah disampaikan iaitu Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Skim Berkat, Anugerah Pengurusan Zakat melalui Kutipan Zakat Perniagaan, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Bank, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Penolong Amil IPT, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Firma Audit dan Ejen Cukai, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Syarikat dan Ejensi, Anugerah Penolong Amil Fitrah Terbaik, Anugerah Penolong Amil Kariah Terbaik dan Anugerah Penolong Amil Padi Terbaik. Setiap anugerah mewakili dua kategori iaitu Prestasi Kutipan Terbaik dan Komitmen Terbaik.

Anugerah Khas  turut diberikan kepada ejen terbaik, iaitu Anugerah Umar Al-Khattab (Kategori Bayaran Zakat Skim Berkat) yang diberi kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Selangor, Anugerah Abdul Rahman bin Auf (Kategori Bayaran Zakat Perniagaan) yang dianugerahkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Anugerah Muaz bin Jabal (Kategori Ejen Kutipan Zakat) yang diberi kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Turut hadir Mufti Negeri Selangor merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Leave a Reply