LZS DILANTIK EJEN WANG TIDAK PATUH SYARIAH



SHAH ALAM, 19 Mac 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyebarluas perkhidmatannya apabila dilantik sebagai ejen terimaan Wang Tidak Patuh Syariah (WTPS) oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sejajar dengan pelantikan tersebut, kesemua 27 cawangan LZS di seluruh Selangor mula menyediakan perkhidmatan terimaan WTPS ini.

WTPS merujuk kepada sebarang bentuk pendapatan atau perolehan hasil daripada perbuatan atau transaksi yang bertentangan dengan hukum syarak. Ia meliputi pengeluaran dan penjualan barang tidak halal, aktiviti yang tidak selaras dengan syariah, jual beli sekuriti yang tidak patuh syariah, manfaat konvensional, judi atau pertaruhan, riba atau faedah serta harta rasuah atau curi.

Pemilik boleh menyerahkan WTPS di cawangan LZS sama ada dalam bentuk tunai, cek, kad debit dan kad kredit Islamik. Manakala bagi harta bukan tunai, pemilik boleh menyerahkannya kepada Baitulmal MAIS.

Selain WTPS, Zakat Selangor turut dilantik sebagai ejen wakaf bagi Perbadanan Wakaf Selangor yang boleh menerima wakaf berbentuk tunai.

Untuk maklumat lanjut layari www.zakatselangor.com.my atau hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.