LZS DIDIK GENERASI MUDA BERZAKAT



KUALA SELANGOR – Seramai 300 pelajar dan warga Kolej Antarabangsa INPENS menyertai Program Zakat Didik Smart A to Z anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan di kolej berkenaan pada 19 Oktober 2012 lalu.

Program berkenaan bertujuan mendekati golongan remaja demi menyuntik kesedaran awal, kefahaman dan juga maklumat zakat kepada mereka. Ia juga diharap dapat membiasakan golongan muda dengan pelbagai isu zakat terkini serta merapatkan hubungan LZS dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Selangor.

Antara acara menarik yang diadakan semasa program ialah kuiz zakat, ceramah, bual bicara bersama artis Aris Ariwatan serta Imam Muda Jabar dan cabutan bertuah.

Sementara itu, salah seorang pelajar yang ditemui Mohd Azri Abdul Hamid berkata, pendekatan LZS dalam mendidik golongan muda berzakat merupakan pendekatan kreatif. Apatah lagi turut menampilkan artis bagi menarik minat pelajar.

“Semoga program seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap, kerana pengisiannya berkesan dalam memberi maklumat zakat kepada pelajar,” Ujar beliau.

Turut hadir, Pengurus Besar Kutipan LZS, Roszy Non dan Presiden INPENS, Dato’ Dr. Md. Mydin Md. Sheriff.