LZS DEKATI PETANI



SABAK BERNAM – Bagi mendekatkan lagi institusi zakat dengan masyarakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan program Mesra Petani baru-baru ini di sini. Program bersempena Kempen Zakat Dihati berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Ma’muniah.

Aktiviti sehari semalam itu bermula seawal jam 8.30 pagi, iaitu gotong royong melapah lembu dan menyediakan bahan masakan bersama penduduk setempat. Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan tazkirah dan khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Hj. Mohd. Rodhi bin Hj. Abu Hashim, Eksekutif Dakwah LZS, bertajuk Zakat: Ibadah Dihayati.

Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan gotong royong memasak, kelas pengajian wanita dan sukaneka belia. Aktiviti berkongsi pengalaman bersama asnaf menaiki bot ke laut dan khidmat masyarakat di rumah asnaf turut dijalankan.

Pada sebelah malamnya, aktiviti diteruskan dengan solat maghrib dan solat hajat berjemaah, majlis tahlil, jamuan makan malam dan solat Isyak berjamaah.

Pada kemuncaknya, telah diadakan Forum Bicara Barakah yang membariskan Ustaz Hashim Fikri al-Jawi, Eksekutif Dakwah LZS sebagai moderator bersama dua orang panelis jemputan, iaitu Ustaz Ghazali Omar dan Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang al-Idrus. Forum ini dihadiri hampir 450 orang penduduk setempat. Majlis tamat sekitar jam 11.00 malam.