LZS DEKATI MASYARAKAT MENERUSI ‘ZAKAT@STREET’



PUNCAK ALAM, 10 November 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Persatuan Penduduk Shah Alam 2 telah mengambil inisiatif menganjurkan program yang dinamakan Zakat @ Street, yang bertempat di Tapak Pasar Malam, di Shah Alam 2, Puncak Alam.

Program ini merupakan satu pendekatan baru LZS dalam memberi kesedaran zakat kepada para penduduk di sekitar Shah Alam 2 dan Puncak Alam. Program bermula jam 5 petang sehingga 7 malam dan menarik minat sebahagian besar pengunjung pasar malam untuk singgah dan mendapatkan informasi tentang ibadah zakat.

Menurut Ketua Sektor Dakwah LZS, Syahril Zainol, program seumpama ini adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat dengan cara mudah dan ringan selain mendekati masyarakat yang sering tidak berkesempatan untuk datang ke kaunter-kaunter zakat LZS.

Program turut menampilkan kumpulan Kopratasa yang dianggotai oleh Sani Sudin, Usop, Adinda Amiro dan Along, untuk menghidupkan suasana program.

Para pengunjung turut diberi ruang untuk memohon bantuan dan membayar zakat di Kaunter Bergerak yang turut disediakan. Walaupun cuaca agak suram; namun sambutan penduduk sangat baik. Program turut diselang seli dengan cabutan bertuah, celoteh pengacara majlis dan kuiz zakat.

Seorang pengunjung, Norizon Ariffin (gambar) berpendapat program seumpama ini perlu diteruskan lagi ke seluruh daerah di negeri Selangor sebagai bentuk pendekatan baru ke arah memartabatkan ibadah zakat sebagai satu sumber pembangunan ekonomi umat Islam.

Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian Kempen Zakat di Hati yang diadakan oleh LZS sepanjang bulan November 2012.

NORIZON ARIFFIN