LZS BUKA KAUNTER 7 HARI SEMINGGU SEPANJANG RAMADAN



Shah Alam, 18 Julai 2012- Demi kemudahan umat Islam di Selangor menunaikan zakat harta dan fitrah sepanjang bulan Ramadan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka 24 kaunter zakat di seluruh Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum.

Waktu urusan kaunter pada hari bekerja bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, kaunter LZS akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

LZS juga turut melantik 2,500 orang penolong amil di seluruh Selangor membantu mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.

Kaunter sementara juga dibuka di pusat-pusat membeli belah terpilih iaitu di Centrepoint, Klang; Giant Seksyen 13, Shah Alam; Kompleks PKNS, Shah Alam; Plaza Masalam, Shah Alam; SACC Mall, Shah Alam; Jaya Jusco, Bukit Raja dan Bukit Tinggi, Klang.