LZS BAWA MEDIA LIHAT ASNAF



SHAH ALAM, 24 Oktober 2013 – Empat buah organisasi media massa memenuhi jemputan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengikuti program mini Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf(ZIKRA) yang diadakan baru-baru ini.

Wakil media terlibat terdiri daripada Utusan Malaysia, Mingguan Wanita, TV Selangor dan Selangor Kini dibawa ke daerah Hulu Langat untuk melihat sendiri gerak kerja agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS di Selangor.

Sebelum program bermula, wakil media terlebih dahulu diberikan taklimat berkaitan agihan zakat dan seterusnya dibawa  turun padang menemui serta mewawancara tiga orang asnaf secara langsung. Mereka yang terlibat ialah Norsalmi Misri dan Hayati Rahmat yang merupakan asnaf miskin, masing-masing menerima bantuan Hari Raya, bantuan pendidikan serta bantuan perniagaan.

Manakala Hisham Isa pula merupakan asnaf fakir yang menghidapi penyakit buah pinggang kronik telah menerima bantuan zakat berupa bantuan rawatan dialisis, kewangan bulanan, pendidikan serta bantuan Hari Raya.

LZS berharap program seperti ini mampu menjadi pemangkin kearah pelaporan berita dengan maklumat yang lebih tepat mengenai agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor.