LZS BANTU RINGANKAN BEBAN BOB KUMAN



KOTA DAMANSARA, 24 April 2012 – Kesengsaraan pelakon Bob Kuman atau nama sebenarnya Husin Mohd Rawi, 40, yang menghidap penyakit paru-paru berair dan obesiti tahap kronik, seperti yang tersiar di akhbar baru-baru ini terbela apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil untuk memberi bantuan baru-baru ini.

Menurut laporan akhbar, beliau memerlukan bantuan bagi menampung kos rawatan susulannya. Beban beliau bertambah kronik, memandangkan beliau juga tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membayar kos perubatan yang tertunggak setelah dimasukkan ke hospital.

Susulan daripada itu, LZS telah mengatur satu lawatan ke rumah beliau dan hasil siasatan yang dilakukan, beliau layak untuk menerima bantuan kerana tidak boleh bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan isterinya yang tidak tetap.

Antara bantuan segera yang diberikan LZS ialah, menjelaskan baki tunggakkan hutang perubatan beliau sebanyak RM3,600.00. LZS juga mempertimbangkan untuk membiayai bantuan perubatan alternatif berjumlah RM1,000.00 sebulan.

LZS berharap dengan bantuan ini dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung beliau sekeluarga.