LZS BANTU IBU TUNGGAL, HALINAH BIBI



Tarikh : 10/23/2008
Penulis : editor

SHAH ALAM, 14 Oktober 2008 – Berikut maklumbalas Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengenai kes keluarga Halinah Bibi Din Muhamis, 50, yang berita mengenai beliau sekeluarga bertajuk ‘Sewa rumah bebankan ibu tunggal’ yang tersiar di akhbar Sinar harian pada hari Isnin, 6 Oktober 2008.

Menurut laporan akhbar berkenaan, beliau kini menanggung kesusahan akibat pendapatan yang kecil dan terpaksa mengangung tunggakan sewa rumah.

Untuk makluman, melalui rekod LZS keluarga Halinah Bibi merupakan asnaf miskin yang berdaftar dan menerima bantuan sejak tahun 2004. Ini melayakkan keluarga beliau untuk menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM150.00 tahun 2004 hingga RM250.00 tahun 2008. Beliau juga penerima bantuan hari raya daripada tahun 2004 hingga tahun 2008 sebanyak RM650.00 setiap tahun.

Selain itu beliau juga menerima bantuan pendidikan anak asnaf fakir miskin dari tahun 2004 hingga 2008. LZS prihatin dengan masalah sewaan yang dihadapi oleh Halinah Bibi dan sedang dalam pertimbangan bagi membantu menangani masalah tuggakan tersebut.

Bantuan yang diberikan ini diharap dapat meringankan bebanan beliau dalam menjalani kehidupan harian. LZS juga amat berterima kasih kepada pihak media yang prihatin dalam menyalurkan maklumat mereka yang berada di dalam kesusahan.