LZS ANJUR SINGGAH SAHUR DEKATI MASYARAKAT, FAKIR DAN MISKIN



SHAH ALAM,  27 Jun 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Petaling menganjurkan Program Jelajah Singgah Sahur ke beberapa rumah asnaf fakir dan miskin di kawasan Sungai Buloh di sini awal pagi ini.

Program yang disertai 50 orang Freerider Bikers dan kakitangan LZS serta Penghulu Mukim Sungai Buloh ini turut mengunjungi petugas-petugas malam di ibu pejabat polis Sungai Buloh, Balai Bomba Sungai Buloh dan Balai Polis Sungai Pelong. Dalam kunjungan tersebut, juadah bersahur dan sumbangan lain turut diserahkan.

20150627_044823

Menurut Pengurus Daerah Petaling, Zulkepli Md Yatim, jalinan kerjasama ini merupakan salah satu cara memasyarakatkan LZS sekali gus merapatkan hubungan silaturahim.

“Penyertaan Freerider Bikers ini sebenarnya menjadi landasan dakwah, yang mana mereka dapat melihat sendiri keperluan golongan asnaf  dan merasai kesusahan golongan ini yang mungkin tidak ada jaudah bersahur.”

Tambahnya lagi, secara tidak langsung program ini dapat menyebarluaskan dakwah zakat kepada orang ramai dan kesannya kepada masyarakat serta mendidik mereka jiwa prihatin zakat.