LZS ANJUR PROGRAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL DI PUSAT KAWALAN KUSTA NEGARA



SG. BULOH, 11 Julai 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menyantuni warga Kompleks Kediaman Dormitori, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sg. Buloh, Selangor. Program dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa.

Program ini bermatlamat untuk mendekati khalayak yang kurang bernasib baik di samping melebarkan manfaat zakat kepada mereka yang memerlukan. Program CSR LZS ini merupakan pertama kali dianjurkan pada tahun ini.

Lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada warga MAIS, LZS dan warga kerja Hospital Sg. Buloh turut serta dalam program ini. Antara program yang diadakan ialah lawatan ke wad, mencantikkan wakaf dan memperindahkan surau. LZS turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM21,695.00 untuk menambah baik dan melengkapkan surau dan wakaf di kompleks ini.

Kaunter zakat bergerak LZS dan empat buah lori milik usahawan asnaf bergerak turut mengambil bahagian dengan menyediakan makanan kepada para peserta dan juga penghuni Kompleks Kediaman Dormitori PKKN ini.

Turut hadir pada program ini ialah, Pengarah Hospital Sg. Buloh, Dr. Khalid Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.