LZS ANJUR PROGRAM CINTAKAN ALAM SEKITAR



BANTING, 5 November 2012 – Seramai 60 pelajar asnaf yang mendiami asrama pendidikan Baitul Hasanah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyertai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan tema‘Kami Prihatin, Hijau Untuk Semua’ berteraskan alam sekitar yang diadakan di Pantai Kelanang sini hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari tersebut mendedahkan para pelajar  mengenai isu-isu alam sekitar, khususnya kesedaran berkenaan penjagaan alam sekitar. Ia mendapat kerjasama daripada Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA), Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Perhutanan, MASKargo dan All Bikers All Riders (ABAR).

Antara aktiviti lain yang diadakan, termasuklah program gotong-royong di Surau Hajjah Fatimah, Kg. Kelanang. Ia melibatkan aktiviti pembersihan surau dan aktiviti mengecat. LZS turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah bagi memenuhi keperluan kariah surau berkenaan.

Bagi menggalakkan aktiviti pemuliharaan ekosistem hutan bakau, LZS telah menyumbang sebanyak 200 anak pokok bakau untuk ditanam di Pantai Kelanang. Ia merupakan antara inisiatif LZS mengekalkan kestabilan alam sekitar, selain memberi pendedahan kepada generasi anak muda asnaf untuk mencintai alam sekitar.

Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.