LZS ANJUR PROGRAM BICARA BERKAT



SHAH ALAM, 12 Jun 2013 – Seramai 100 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor menghadiri Program Bicara Berkat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada ketua-ketua jabatan ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, ketua-ketua polis daerah dan wakil dari unit gaji PDRM. Program ini bermatlamat menyampaikan maklumat terperinci berkaitan taksiran semula zakat pendapatan melibatkan kakitangan PDRM Selangor yang menyertai bayaran zakat melalui potongan gaji atau dikenali Skim Berkat.

Selain itu, program ini turut menjadi medan kepada LZS untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan pengurusan zakat di Negeri Selangor.

Pada tahun 2012, sebanyak RM1.4 juta dikutip melalui potongan zakat bagi kakitangan PDRM Selangor melibatkan 3,672 kakitangan yang mencarum. Sehubungan itu, LZS mensasarkan peningkatan kutipan zakat serta peningkatan pencarum sebanyak 50 peratus hasil daripada taksiran semula yang dilaksanakan.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Mohd Adnan Abdullah, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Selangor, SAC Hasanuddin Hassan dan Pengurus Besar Pentadbiran dan Sumber Manusia, Amran Zakaria.