LZS ANJUR KONVENSYEN KUTIPAN ZAKAT



SHAH ALAM, 16 JULAI 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) julung-julung kalinya menganjurkan Konvensyen Kutipan Zakat, khusus bagi kakitangan LZS yang terlibat secara langsung dengan aktiviti kutipan, iaitu dakwah dan pemasaran zakat. Program diadakan di sebuah pusat konvensyen di sini.

Seramai hampir 100 orang kakitangan telah terlibat. Di antara pembentangan yang dilakukan, melibatkan prestasi kutipan sehingga Jun 2011, hala tuju kutipan LZS, isu-isu agihan zakat dan juga sesi munaqasyah atau dialog.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dalam ucaptamanya telah memberi penekanan, bahawa keutamaan LZS kini ialah memperkasakan aspek kutipan menerusi pelbagai pendekatan yang berkesan, termasuklah menerusi agihan zakat. Keyakinan umat Islam adalah kunci kepada kualiti kutipan zakat di Selangor.

Program ditamatkan pada sebelah petang dengan sesi pembacaan ikrar, iaitu ‘Doa Wehdah Amilin’, sebagai manifestasi komitmen para peserta konvensyen menggalas sasaran kutipan zakat yang berjumlah RM370 juta pada tahun ini.