LZS ANJUR BENGKEL KHAS OPERASI PEKELILING KERAJAAN



SHAH ALAM, 27 Jun 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Bengkel Khas Operasi Pekeliling Kerajaan yang telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak.

Program ini bermatlamat untuk memberikan maklumat secara terperinci kepada para penjawat awam di unit gaji mengenai potongan zakat berjadual yang dilaksanakan di LZS, dengan menggunakan taksiran baru yang selaras dengan kenaikan gaji baru sektor awam.

LZS mensasarkan sebanyak lima bengkel akan diadakan di seluruh Selangor bermula 19 Jun sehingga 28 Jun ini dengan melibatkan 500 orang kakitangan Unit Gaji daripada pelbagai sektor kerajaan. Kakitangan awam seterusnya diberikan tempoh sebulan bermula 1 Julai 2012 ini untuk memberikan maklum balas terhadap taksiran yang dikeluarkan dan dijangka potongan zakat mengikut taksiran baru ini dapat bermula Oktober ini.

Pada peringkat permulaan, taksiran semula telah pun dilaksanakan oleh pihak Akauntan Negara Malaysia (AG) negeri Selangor dengan penglibatan 44 buah agensi utama, antaranya kakitangan hospital dan sekolah agar jumlah potongan zakat menepati jumlah pendapatan yang sebenar.

Hasilnya, seramai 45,247 orang telah ditaksir semula berdasarkan gaji baru mereka dan ia membawa jumlah potongan zakat kepada lebih RM2 juta sebulan. Walau bagaimanapun, kutipan zakat melalui AG sehingga kini hanyalah sebanyak RM461,000.00 sebulan dan usaha lanjut perlu dilakukan demi menyedarkan lebih ramai penjawat awam mengenai kepentingan meningkatkan jumlah potongan gaji mereka.