LZS AMBIL TINDAKAN BANTU SEGERA KELUARGA HUNI PONDOK USANG



 SHAH ALAM, 24 Jun 2015 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang tersiar di akhbar Harian Metro bertarikh 23 Jun 2015. Menurut berita berkenaan, tiga sekeluarga terpaksa tinggal di pondok usang di Kampung Padang Jawa yang menjadi tempat kediaman mereka sejak setahun lalu.

Scan 68

Sehubungan itu, LZS telah mengambil tindakan segera dengan menghantar pegawai pada hari yang sama bagi menjalankan siasatan ke pondok usang mereka berhampiran dengan jambatan Padang Jawa.

Hasilnya, LZS mendapati bahawa, Wan Esah Ramli, 58 tahun telah tinggal di situ hampir empat bulan bersama suami, Mohd Yusuff Che Isa, 56 tahun dan seorang anak tiri berusia 18 tahun. Siasatan LZS mendapati Wan Esah mempunyai sebuah rumah di Klang. Namun akibat konflik keluarga, Wan Esah telah keluar dari rumah dan tinggal di pondok tersebut.

Setelah dikira haddul kifayah (garisan kecukupan minimum bagi keperluan asasi) mendapati keluarga ini tidak layak sebagai asnaf fakir dan miskin berdasarkan kepada Garis Panduan dan Syarat Kelayakan Agihan Zakat. Ini memandangkan ketiga-tiga mereka bekerja dan mempunyai pendapatan tetap. Bagaimanapun, LZS akan menyalurkan bantuan deposit sewa rumah mengikut kadar yang ditetapkan setelah Wan Esah dapat mencari rumah sewa yang bersesuaian.

Sementara itu, Adnan Chik, 58 tahun, telah tinggal di situ hampir lima bulan. Beliau merupakan asnaf miskin yang berdaftar dengan LZS di Kuala Selangor bermula tahun 2006 sehingga sekarang. Dalam tempoh tersebut, antara bantuan yang diterima beliau ialah, bantuan pendidikan dan bantuan Hari Raya.

Untuk makluman pada tahun 2013, LZS telah menyediakan tempat tinggal untuk keluarga Adnan di penempatan berkelompok fakir dan miskin dikenali Desa Ehsan terletak di Jeram, Kuala Selangor yang berada di bawah kendalian LZS. Bagaimanapun beliau telah keluar dari rumah tersebut dengan alasan untuk bekerja di sekitar Shah Alam. Kini rumah itu didiami oleh anaknya sahaja dan Adnan akan pulang ke rumah tersebut pada setiap hujung minggu. Sehubungan dengan itu, LZS telah menyarankan Adnan untuk kembali tinggal di rumah yang telah disediakan sebelum ini.