LZS AGIHKAN RM1.3 JUTA ZAKAT



SHAH ALAM, 18 Disember 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM1,318,598.19 melalui pelbagai jenis bantuan zakat bersempena dengan Majlis Bayaran Zakat Perniagaan, Anugerah Pelajar Cemerlang IPT dan Agihan Zakat yang diadakan bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) dekat sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1,026,558.19 diagihkan melalui bantuan ekonomi melibatkan 20 orang usahawan mobil yang menerima bantuan lori bergerak. Setiap daripada mereka menerima lori yang berharga RM47,476.50 dengan jumlah kos keseluruhan lori bernilai RM946,530.00.

Manakala, 10 orang asnaf fakir dan miskin bakal menjadi usahawan apabila menerima bantuan perniagaan pakej makanan berupa kiosk, peralatan dan modal pusingan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM39,167.00. Sementara, seorang individu menerima bantuan perniagaan berupa lori tiga tan yang berharga RM40,861.19.

Selain itu, LZS menyerahkan bantuan pendidikan berupa komputer riba bernilai RM2,000  setiap satu kepada 100 orang pelajar asnaf. Mereka terdiri daripada pelajar tajaan LZS yang sedang mengikuti pengajian di institusi pangajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di seluruh negara.

Manakala Abu Mundzir Kamal Batcha mewakili isterinya Mashita Ahmah, mendapat bantuan perubatan berjumlah RM32,040.00 bagi kos rawatan penyakit kanser hidung yang dihidapi isterinya.

Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Klang dan Rumah Aman, Shah Alam turut menerima bantuan sumbangan rumah kebajikan masing-masing berjumlah RM35,000.00 dan RM25,000.00. Kedua-dua rumah kebajikan ini menempatkan anak-anak yatim, fakir dan miskin.

Sementara itu, seorang pelajar asnaf IPT, Nur Hafizah Razali menerima Anugerah Mahasiswa Bestari atas kecemerlangannya mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan di peringkat IPT. Beliau menerima sumbangan saguhati LZS berjumlah RM2,000 di samping plak dan sijil penghargaan.

Beliau yang ditemui selepas majlis, menyatakan rasa bersyukur dan berterima kasih atas penganugerahan yang diterima. “Anugerah ini menjadi pemangkin untuk saya membuat lebih baik daripada sekarang. Terima kasih kepada LZS dan pembayar zakat yang membantu saya untuk sampai ke tahap ini.”

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.