LZS AGIH RM35.1 JUTA BANTUAN ZAKAT UNTUK ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF PERSIAPAN RAMADAN & HARI RAYA



KUALA LANGAT, 12 Mei 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM35,084,750 kepada 44,246 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin serta 5,777 orang asnaf mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad di hadapan 200 orang asnaf fakir dan miskin di Universiti Mahsa bersempena dengan Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya Perdana 2018 serta Penutup Karnival & Kerjaya LZS di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9,519,690 diagihkan kepada 12,528 ketua keluarga asnaf fakir, manakala sebanyak RM23,459,640 diagihkan kepada 31,718 ketua keluarga asnaf miskin dan RM2,105,420 diagihkan kepada 5,777 asnaf mualaf.

Setiap penerima menerima bantuan zakat di antara RM550 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan. Bantuan ini diagihkan sama ada menerusi kredit ke akaun bank atau menggunakan kaedah V-Cash (Vaucher Tunai) atau serahan tunai di program.

Pada tahun ini, daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi seramai 8,856 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM6,154,670. Ia diikuti daerah Petaling dengan jumlah penerima seramai 7,948 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,612,110 dan daerah Hulu Langat mengagihkan bantuan zakat kepada 7,658 penerima dengan jumlah agihan sebanyak RM5,279,780.

Sementara daerah Hulu Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM4,018,020 kepada 5,640 orang penerima, daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat kepada 5,003 penerima melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM3,580,780 dan daerah Gombak mengagihkan kepada 4,483 penerima dengan agihan zakat sebanyak RM3,055,740.

Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 4,149 penerima yang menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,976,510 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,793,600 kepada 4,041 penerima dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,613,540 kepada 2,245 penerima fakir, miskin dan mualaf.