LZS AGIH RM30.8 JUTA UNTUK FAKIR DAN MISKIN MENYAMBUT PUASA DAN HARI RAYA



SHAH ALAM, 17 Jun 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM30,778,900 bantuan zakat kepada 41,568 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan Ramadan dan Syawal pada tahun ini. Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim di hadapan 590 orang asnaf fakir dan miskin di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11,400 keluarga asnaf fakir menerima bantuan zakat berjumlah RM8,632,700. Manakala 30,168 keluarga asnaf miskin menerima bantuan zakat berjumlah RM22,146,200. Setiap keluarga akan menerima bantuan zakat di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.

Bantuan berkenaan telah mula diagihkan pada 15 Jun 2015 dan dijangka akan berakhir pada 2 Julai 2015 menerusi program-program mini yang diadakan di setiap daerah bagi membantu golongan yang memerlukan membuat persiapan awal bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal.

Pada tahun ini, daerah Petaling mencatatkan jumlah penerima bantuan Ramadan dan Syawal tertinggi iaitu seramai 6,880 keluarga melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,127,050. Ia telah diagihkan menerusi tiga program yang diadakan di daerah tersebut termasuk hari ini yang melibatkan 590 keluarga asnaf fakir dan miskin dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM401,550.

Turut diserahkan bantuan modal perniagaan kepada lima individu yang menjalankan perniagaan di bazar-bazar Ramadan. Bantuan tersebut disediakan setiap tahun menjelang Ramadan dan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyediakan tapak untuk para asnaf berniaga.  Ia adalah sebagai galakan kepada para asnaf yang produktif, sejajar dengan sasaran LZS untuk melahirkan ramai usahawan asnaf yang dapat meningkatkan kehidupan sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir, Timbalan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Mohd Shahari Ahmad Jabar dan Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan LZS, Dato’ Ibrahim Md Yusof. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.