LZS AGIH RM156,520 ZAKAT KEPADA EMPAT ORANG ASNAF



SHAH ALAM, 2 Mac 2012- Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengagihkan sejumlah RM156,520.00 kepada empat orang penerima zakat bagi bantuan perubatan, bantuan dialisis dan bantuan membina rumah. Majlis agihan zakat berkenaan telah dilangsungkan bersekali Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, pada 29 Februari lalu.

Penyerahkan bantuan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa kepada Norshaufique Jamaluddin, bagi bantuan perubatan (barah tulang) berjumlah RM48,600.00, Omar Othman untuk bantuan dialisis berjumlah 31,920.00 dan Latifah Tijoo serta Aida binti Tupat @ Muhamed Rawi, masing-masing bagi bantuan membina rumah bernilai RM38,000.00.

Norshaufique Jamaluddin ketika ditemui berkata, dengan adanya bantuan perubatan ini dapat meringankan beban kos perubatan yang ditanggung olehnya selama ini.

“Saya bersyukur LZS memberi bantuan perubatan ini, selama ini saya telah menggunakan duit berniaga bagi menampung kos pembelanjaan yang menelan belanja sebanyak RM7800 sebulan.” Katanya.

Manakala, Latifah Tijoo berkata beliau dapat menarik nafas lega kerana LZS(MAIS) telah memberikan bantuan ini untuk membaiki rumahnya yang uzur.

“Alhamdulillah dengan bantuan ini, saya dan keluarga dapat berteduh dengan selamat kerana rumah yang sebelum ini mengalami masalah atap bocor dan dimakan oleh anai-anai dan membahayakan keselamatan keluarga saya.” Katanya.

Terkini, pada tahun 2011 yang lalu, sebanyak 371.7 juta telah diagihkan, berbanding RM365 juta pada tahun 2010. Hal ini menunjukkan, bilangan bantuan zakat kian meningkat.

Sementara itu, LZS juga telah berjaya mengumpul zakat sebanyak RM393.5 juta, yakni meningkat kira-kira 17 peratus berbanding tahun 2010. Daripada jumlah ini sebanyak RM79.7 juta daripada sektor perniagaan dan sekali gus menjadi penyumbang kedua kutipan terbesar zakat pendapatan dengan kenaikan sebanyak 32 peratus berbanding tahun 2010.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamaed Yusof, Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS, Sahadan Ishak dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat kumpulan DRB-HICOM Berhad.