LZS AGIH PELBAGAI BANTUAN LEBIH RM30 JUTA



Tarikh : 4/28/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 28 April 2010 –Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengagihkan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM30,970,276.42 juta melalui program Agihan Zakat Perdana. Pelbagai institusi serta individu menerima bantuan yang disalurkan melalui empat program utama agihan zakat iaitu, pendidikan, sosial, ekonomi serta institusi agama.

Melalui Program Pembangunan Pendidikan sebanyak RM22,129,014.00 bantuan diagihkan, Pembangunan Institusi Agama (RM8,500,000.00), Pembangunan Sosial (RM245,885.25) dan Pembangunan Ekonomi sebanyak RM95,376.80.

Di bawah program pendidikan, bantuan yang diagihkan termasuk dermasiswa kepada pelajar-pelajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjumlah RM1.1 juta serta wang saku berjumlah RM2.6 juta.

LZS juga turut mengagih RM10 juta bagi elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); penyediaan buku teks sekolah agama negeri Selangor (RM4,056,353.00); bantuan perabot sekolah (RM2,497,635.00) dan elaun bagi guru tahfiz sebanyak RM570,507.00. Turut diagihkan bantuan berupa basikal sebanyak 4,022 buah kepada anak fakir miskin berjumlah RM784,290.00 serta 17 komputer riba. Selain itu, LZS turut menyediakan dua buah bas atau coaster bagi kegunaan anak asnaf di Asrama Baitul Hasanah di Kuala Selangor serta Hulu Selangor bernilai RM454,000.00. Bantuan pembinaan tambahan kelas sekolah-sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjumlah RM5 juta turut diberikan termasuk bantuan elaun kepada pegawai-pegawai masjid seluruh Selangor berjumlah RM3.5 juta di bawah Program Pembangunan Institusi Agama.

Manakala melalui Program Pembangunan Sosial, lima buah rumah berjumlah RM190,000 telah diagihkan termasuk bantuan perubatan berjumlah RM55,885.25. Sebanyak 11 unit kerusi roda turut diagihkan untuk kegunaan penghuni Desa Kasih dan Desa Ehsan.

Di bawah Program Pembangunan Ekonomi pula, LZS menyerahkan bantuan modal perniagaan berjumlah RM953,768.00 kepada empat orang usahawan asnaf.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa,Rektor KUIS merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Dato’ Dr Aziuddin Ahmad dan Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.