LZS AGIH BANTUAN RM12.54 JUTA UNTUK ANAK-ANAK FAKIR DAN MISKIN MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN 2010



Tarikh : 12/16/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM12.54 juta bantuan pendidikan kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin bagi sesi persekolahan 2010.

Bantuan ini melibatkan kira-kira 34,787 anak asnaf fakir dan miskin yang terdiri daripada pelajar peringkat tadika, sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan agama, sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama.

Kesemua anak asnaf ini akan menerima bantuan dalam bentuk wang tunai bagi bantuan yuran persekolahan dan keperluan peralatan persekolahan. Ini bermakna setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan; maksimum sehingga RM2,000

Pada tahun ini, LZS memperuntukkan sebanyak RM200 seorang bagi keperluan kelengkapan persekolahan manakala bagi bantuan yuran persekolahan, setiap anak asnaf yang bersekolah tadika bakal menerima RM100, sekolah rendah kebangsaan RM150, sekolah rendah agama (RM150), sekolah menengah kebangsaan (RM250) dan sekolah menengah agama (RM250).

Bantuan pendidikan untuk anak asnaf fakir miskin ini merupakan bantuan tahunan yang disediakan oleh LZS bagi membantu meringankan bebanan ibu bapa dalam menghadapi musim persekolahan. Bantuan ini juga dilihat dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak fakir miskin ini supaya menjadikan pendidikan sebagai aset utama untuk berjaya.