LZS AGIH BANTUAN PENDIDIKAN LEBIH RM800 RIBU UNTUK 652 KELUARGA ASNAF DAERAH PETALING



SHAH ALAM, 26 November 2015 – Seramai 652 orang keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Petaling hari ini menerima bantuan pendidikan untuk anak-anak mereka bagi sesi persekolahan 2016 dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM854,920.00. Bantuan tersebut disampaikan oleh Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Haji Emran bin Haji Kadir.

Ia merupakan program yang keempat diadakan di daerah ini bersempena dengan Program Penyampaian Agihan Pendidikan bagi Sesi Persekolahan 2016 yang diadakan di seluruh Selangor bermula 17 November lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM654,990.00 diserahkan kepada 502 keluarga asnaf miskin, manakala RM199,930.00 lagi diagihkan kepada 150 keluarga asnaf fakir. Ia bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa terutamanya bagi membiayai kelengkapan dan yuran persekolahan anak-anak bermula dari peringkat pra sekolah hingga sekolah menengah pada tahun hadapan.

Melalui bantuan agihan tersebut, setiap anak asnaf yang bersekolah di sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi anak asnaf di peringkat pra sekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, setiap pelajar turut menerima bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah bernilai di antara RM150 hingga RM200, di mana para penerima boleh mendapatkan keperluan tersebut di Pasar Raya Sakan, Mydin dan Jakel yang terpilih di sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan.

Bantuan agihan pendidikan hari ini adalah sebahagian daripada jumlah yang diperuntukkan oleh LZS untuk diagihkan kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin menjelang sesi persekolahan 2016.

Pada tahun ini, LZS telah memperuntukkan sebanyak RM25,156,300 untuk diagihkan kepada 19,009 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor melibatkan seramai 49,158 orang pelajar. Ia membabitkan sejumlah RM6,401,570 yang diagihkan kepada 13,030 orang pelajar asnaf fakir dan RM18,754,730 kepada 36,128 orang pelajar asnaf miskin.

Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelajar tertinggi yang menerima bantuan zakat iaitu sebanyak 11,045 orang pelajar dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM5,458,080.00. Ia melibatkan seramai 939 keluarga asnaf fakir dan 2,889 keluarga miskin di daerah Petaling.