LZS AGIH BANTUAN PENDIDIKAN LEBIH RM800 RIBU UNTUK 1,006 KELUARGA ASNAF DAERAH PETALING



PETALING, 10 Disember 2014 – Seramai 1,006 orang keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah ini menerima bantuan agihan pendidikan untuk anak-anak mereka bagi sesi persekolahan 2015 dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM845,660.00. Bantuan tersebut disampaikan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Petaling, Muhammad Sujak Mohd Dasuki di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM719,850.00 diserahkan kepada 825 keluarga asnaf miskin, manakala RM125,810 lagi diagihkan kepada 181 keluarga asnaf fakir. Ia bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa terutamanya bagi membiayai kelengkapan dan yuran persekolahan anak-anak bermula dari peringkat pra sekolah hingga sekolah menengah pada tahun hadapan.

Melalui bantuan agihan tersebut, setiap anak asnaf yang bersekolah di sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi anak asnaf di peringkat pra sekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, setiap mereka turut menerima bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah bernilai di antara RM170 hingga RM200 yang diberi dalam bentuk baucer untuk ditukar di pasar raya terpilih.

Dengan adanya agihan zakat tersebut, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan sehingga maksimum RM2,000 bagi satu keluarga.

Bantuan agihan pendidikan hari ini adalah sebahagian daripada jumlah yang diperuntukkan oleh LZS untuk diagihkan kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin menjelang sesi persekolahan 2015.

Pada tahun ini, LZS telah memperuntukkan sebanyak RM15,100,711.00 untuk diagihkan kepada 17,554 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor melibatkan seramai 44,824 orang pelajar. Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelajar tertinggi yang menerima bantuan iaitu sebanyak 7,771 orang pelajar dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM2,678,760.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.