LZS AGIH 130 BUAH KOMPUTER RIBA



SERDANG, 16 Oktober 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan 130 buah komputer riba dengan nilai keseluruhan berjumlah RM256,100 kepada 130 orang mahasiswa dari keluarga fakir dan miskin. Majlis penyerahan disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Mereka merupakan mahasiswa tajaan LZS yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di seluruh negara dan mendapat keputusan GPA/CGPA 2.5 ke atas.

Sehingga September 2014, LZS membiayai sejumlah 6,227 orang mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di IPTA/S seluruh negara. Ia melibatkan pengajian dari peringkat sijil hingga ke doktor falsafah.

Bantuan komputer riba ini diberikan sebagai kemudahan tambahan kepada mereka, selain menerima bantuan sara diri sebanyak RM3,00 setahun termasuk pembiayaan yuran pengajian.

Sementara itu, di bawah Program Pembangunan Pendidikan, LZS telah mengagihkan sebanyak RM52 juta bantuan zakat sepanjang tahun 2013 bagi memastikan anak-anak asnaf fakir dan miskin dapat meneruskan pengajian dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UPM, Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA UPM, Hashim Md. Shari dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed. Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Agihan LZS, Abdul Basith Hamid.