LIMA USAHAWAN ASNAF TERIMA ANUGERAH ASNAF CEMERLANG



SHAH ALAM, 15 Ogos 2015 – Kegigihan lima orang usahawan asnaf untuk keluar daripada belenggu kemiskinan akhirnya berbalas apabila masing-masing menerima anugerah bersempena Anugerah Asnaf Cemerlang 2015 dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) atas kegigihan dalam bidang keusahawanan bertempat di Hotel Grand Bluewave di sini hari ini.

Mereka ialah Musniah Awang yang menerima Anugerah Usahawan Cemerlang untuk kategori perkhidmatan, Mohd Jerian Mohd Tasaruddin dianugerahkan Usahawan Cemerlang kategori makanan (mobile), Yusuf Derlan menerima Anugerah Usahawan Cemerlang kategori makanan dan Mohd Azmi Sarip menerima anugerah Usahawan Cemerlang kategori asas tani.

 Manakala, Rasimah Haini pula menerima Anugerah Usahawan Cemerlang bagi kategori peruncitan. Beliau turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Harapan dalam majlis ini.

 Kesemua asnaf ini menerima insentif wang tunai sebanyak RM3,000 dan sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka. 

 Sementara itu, seramai 17 orang usahawan asnaf berdaya saing turut menerima anugerah Usahawan Wawasan sebagai penghargaan atas usaha mereka, di samping menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

 Pada masa sama, seramai 56 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Turut menerima anugerah penghargaan, mahasiswa asnaf di institusi pengajian tinggi. 

 Ahmad Fathi Danial Ahmad yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM lalu, diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Bestari. Beliau kini sedang menyambung pengajian di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dalam program asasi. Beliau menerima insentif wang tunai sebanyak RM1,000 di samping sebuah komputer riba dan sijil penghargaan.

 Manakala Nurnaziha Samunar yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan memperoleh Ijazah Perakaunan diberikan Anugerah Mahasiswa Bestari. Beliau membawa pulang insentif wang tunai berjumlah RM3,000 beserta sijil penghargaan.

 Majlis anugerah ini bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan atas kejayaan para asnaf zakat di LZS. Pada masa yang sama, ia dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk mengekalkan kejayaan tersebut, di samping menjadi contoh kepada asnaf yang lain.

 Hadir sama dalam majlis ini ialah, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Bakhtiar Husin, Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan LZS, Dato’ Ibrahim Md. Yusof. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.