LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (MAIS) SEDIA KEMUDAHAN ASRAMA UNTUK ANAK FAKIR MISKIN



Kuala Selangor – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah merasmikan asrama anak fakir miskin atau ‘Baitul Hasanah’ yang kedua selepas di Hulu Selangor khusus untuk anak golongan ini yang masih belajar.

Perasmian dilakukan Pengerusi LZS (MAIS), Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa di sini pada 25 Februari.

Dalam ucapannya beliau berkata, usaha menubuhkan Baitul Hasanah ini merupakan agenda LZS (MAIS) bagi melahirkan anak-anak fakir miskin yang cemerlang dalam bidang pendidikan. Ini termasuk menyediakan prasarana pembelajaran yang lengkap serta penjagaan daripada aspek pemakanan.

Asrama ini mampu memuatkan lebih 40 pelajar lelaki dan wanita dan dilengkapi dengan dewan makan, surau serta padang untuk aktiviti riadah. Sebagai kemudahan tambahan, pusat IT turut akan disediakan. Asrama ini dikendalikan oleh lapan orang kakitangan dan dipantau terus di bawah program pembangunan pendidikan LZS (MAIS).

Ketika ini, seramai 36 orang anak fakir miskin menghuni di sini yang terdiri daripada 19 lelaki dan 17 perempuan, berusia antara 9 hingga 11 tahun. Kebanyakan mereka berasal daripada daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Di samping itu, LZS (MAIS) turut menyediakan kemudahan pengangkutan bagi menghantar anak-anak ini ke sekolah berhampiran. Kelas tuisyen serta fardu ain turut diadakan sebagai aktiviti tambahan.

LZS (MAIS) juga merancang untuk menubuhkan asrama ini di setiap daerah dan yang terdekat pembinaannya ialah di Kuala Langat dan Klang.

Salah seorang pelajar di sini, Husna Mat Lasah, 11 merasa sungguh gembira apabila terpilih masuk ke asrama ini. Beliau bercita-cita untuk mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR berjanji untuk belajar bersunggu-sungguh. Ibunya, Halimah Dubit, 50, juga bersyukur apabila anaknya mempunyai tempat menumpukan perhatian untuk belajar. Beliau yang telah dua tahun menerima bantuan zakat hanyalah seorang ibu tunggal berpendapatan RM600 sebulan berharap anaknya akan berjaya dengan adanya bantuan zakat ini.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Pembangunan Ummah, LZS (MAIS), Zulkifli Abd. Hamid,