LEMBAGA ZAKAT SELANGOR BANTU MANGSA BANJIR KEDAH RM100 RIBU



ALOR STAR, 17 Februari 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan bantuan zakat kepada mangsa banjir di negeri Kedah, berjumlah RM100,000 melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

Bantuan berbentuk cek disampaikan oleh Pengerusi LZS, Y.A.M Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail kepada KDYMM Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit di sini.
Bantuan ini bertujuan membantu meringankan beban mangsa banjir yang melanda negeri Kedah pada November tahun lalu. Ia merupakan tanggungjawab sosial LZS bagi membantu umat Islam yang dilanda musibah atau bencana.
LZS merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bernaung di bawah DYMM Sultan Selangor. Ia bertanggungjawab di dalam hal ehwal pengurusan zakat di negeri Selangor.
Turut hadir ketika penyerahan cek bantuan, Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.