LEMBAGA TABUNG HAJI SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM6 JUTA



SHAH ALAM, 6 April 2010 – Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM6,632,027.50 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang dibayar adalah bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain dan tertinggi diterima LZS setakat ini. Bayaran zakat adalah berdasarkan bilangan pendeposit LTH di Selangor sepanjang tahun lalu iaitu seramai 672,012 orang. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan LTH pada tahun ini bagi seluruh negara berjumlah RM33,918,120.04.

Upacara penyerahan zakat LTH turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullai, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Pegawai Operasi LTH, Dato’ Haji Kamarudin Mat Ali. Turut hadir, Pengarah LTH Selangor, Md Ridza Mat Zain serta Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.