LEMBAGA TABUNG HAJI SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM6 JUTA KEPADA LEMBAGA ZAKAT SELANGOR



Tarikh : 1/18/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM6,707,963.37 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Datuk Ismee Ismail, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang dibayar adalah bagi tahun kewangan 2008 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain. Ia juga merupakan jumlah zakat yang tertinggi diterima LZS setakat ini. Bayaran zakat adalah berdasarkan bilangan pendeposit LTH di Selangor sepanjang tahun lalu iaitu seramai 649,350 orang. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan LTH pada tahun ini bagi seluruh negara berjumlah RM 33,380,673.55.