LEMBAGA TABUNG HAJI SELANGOR SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM14.7 JUTA, TERTINGGI DI MALAYSIA



SHAH ALAM, 30 Mac 2016 – Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM14,739,426.67 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).  DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Tan Sri Dato’ Sri Ismee Ismail di Istana Bukit Kayangan di sini. 

Zakat perniagaan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain dan tertinggi diterima LZS pada tahun ini.

Upacara penyerahan zakat LTH turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Turut hadir, Pengarah LTH Selangor, Mohd Sawal Abong dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.