LEMBAGA TABUNG HAJI SELANGOR SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM10 JUTA



SHAH ALAM, 13 Mac 2012 – Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM 10,129,429.00 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Datuk Paduka Ismee Ismail di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang dibayar adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain dan tertinggi diterima LZS setakat ini. Bayaran zakat ini adalah berdasarkan bilangan pendeposit LTH di Selangor sepanjang tahun lalu iaitu seramai 970,795 orang. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan LTH pada tahun ini bagi seluruh negara pula berjumlah RM38,641,406.12

Upacara penyerahan zakat LTH turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Norazharuddin Abu Talib.

Turut hadir, Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Abdul Majid Omar, Pengarah LTH Selangor, Md Ridza Mat Zain serta Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Leave a Reply