LEMBAGA TABUNG HAJI SELANGOR SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM10.9 JUTA



SHAH ALAM, 10 Mei 2013 – Lembaga Tabung Haji (LTH) menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM 10,907,614.88 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).  DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Datuk Paduka Ismee Ismail di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang dibayar adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain serta tertinggi diterima LZS setakat ini. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan LTH pada tahun ini bagi seluruh negara pula berjumlah RM41.2 juta.

Upacara penyerahan zakat LTH turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Turut hadir, Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah LTH Selangor, Md Ridza Mat Zain serta Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.