LEBIH RM7 JUTA UNTUK ASNAF SEMPENA RAMADAN DAN AIDILFITRI



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS memperuntukkan sebanyak RM7,012,500 bantuan untuk diagihkan kepada 11,549 orang fakir, miskin dan anak yatim fakir miskin di seluruh Negeri Selangor menjelang ketibaan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM211,800 diagihkan kepada 294 orang asnaf fakir, RM6,634,400 pula kepada 9,589 orang asnaf miskin dan RM166,600 diperuntukkan untuk 1,666 orang anak yatim fakir miskin. Sabak Bernam merupakan daerah yang tertinggi menerima bantuan iaitu sebanyak RM1,594,300.

Pada tahun ini, asnaf fakir yang terpilih akan menerima bantuan antara RM600 hingga RM1,000. Manakala bagi asnaf miskin, mereka akan menerima bantuan antara RM550 hingga RM1,000. Perbezaan jumlah bantuan yang diterima ini bergantung kepada jumlah tanggungan bagi sesebuah keluarga. Bagi anak yatim fakir miskin pula, mereka akan menerima wang saku sebanyak RM100 seorang.

Sebanyak 42 program agihan telah dijadualkan, bermula pada 12hb September dan dijangka akan berakhir pada 7hb Oktober ini. Sebanyak enam program yang melibatkan Sultan Selangor telah diatur yang akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam (26hb September), Masjid Nurul Huda, Kuala Langat (29hb Oktober), Masjid Al-Ulum, Sepang (3hb Oktober), Masjid Tengku Kelana, Kelana Jaya (5hb Oktober), Masjid Ijtima’ie, Sabak Bernam (9hb Oktober) dan Masjid Ar Rahman, Tg. Karang (13hb Oktober).