LEBIH RM1.5 JUTA ZAKAT KEPADA 35 BADAN KEBAJIKAN DAN DAKWAH



SHAH ALAM, 25 OKTOBER 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan dalam bentuk geran berjumlah RM720,000.00 kepada 35 badan kebajikan dan dakwah di Selangor bertujuan melancarkan operasi badan itu, tambahan kepada RM830,000 yang telah diterima sebelum ini.

Daripada jumlah badan tersebut, 13 merupakan rumah kebajikan anak yatim dan orang tua, 13 lagi merupakan rumah kebajikan dan perlindungan sosial manakala sembilan buah lagi merupakan badan dakwah daerah yang bernaung di bawah Pejabat Agama Islam Daerah.

Kriteria pemilihan adalah berdasarkan aktiviti yang melibatkan perlindungan kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua, bekas penagih dadah, pengidap AIDS, golongan remaja dan wanita yang terlibat dengan masalah gejala sosial dan sedang dalam proses pemulihan akhlak.  Kesemua badan itu juga mestilah beroperasi di negeri Selangor.

Antara badan kebajikan dan dakwah yang menerima bantuan ialah Pertubuhan al-Khaadem, Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin al-Munirah, Pertubuhan Kebajikan Ehsan ash-Shakur dan Pusat Khidmat Sosial Perkid yang masing-masing menerima dana sebanyak RM20,000.00.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini. Turut hadir, Penolong Setiausaha Bahagian Pemulihan Al Riqab MAIS, Hafizatul Akmal Abdul Jalil dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Petaling, Mohamad Sujak Dasuki.

Leave a Reply