LAWATAN KERJA KE UTARA LZS BERSAMA EJEN IPT



SHAH ALAM, 1 Oktober 2013- Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama ejen institusi pengajian tinggi (IPT) LZS telah mengadakan lawatan tiga hari bermula pada 1 hingga 3 Oktober ke institusi zakat di utara serta IPTA dan IPTS bagi berkongsi pengalaman dalam pengurusan zakat.

Lawatan kali ini disertai seramai 35 orang peserta terdiri daripada eksekutif sektor ejensi LZS yang diketuai Ketua Sektor Ejensi LZS, Rohaizam Abdullah dan wakil-wakil ejen IPT LZS  yang diketuai oleh Haji Nasir dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Lawatan dimulai dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sebelum bergerak ke destinasi pertama iaitu di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. Kemudian para peserta telah berkunjung ke Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh, Perak  yang amat berbesar hati menerima kedatangan delegasi ini.

Lawatan pada hari kedua diteruskan ke Pusat Zakat Pulau Pinang dan Jabatan Zakat Negeri Kedah. Di sini pada peserta dapat bertukar-tukar pendapat dan pengalaman bagi meningkatkan dakwah zakat dan ekonomi umat Islam. Kemudian para peserta meneruskan lawatan ke Universti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Zakat Negeri Perlis bagi melengkapkan sesi lawatan kerja pada kali ini. Penghormatan diberikan kepada Ketua Unit Zakat UiTM, Ustaz Ghafarullahdin Din menyampaikan ceramah berkaitan kepentingan berzakat kepada para pensyarah UUM.

Ternyata, lawatan kerja ini banyak memberi pengalaman kepada para peserta khususnya tentang cabaran di dalam pengurusan zakat. Para peserta turut didedahkan tentang aplikasi sistem urusan agihan yang dikaji oleh pensyarah-pensyarah di IPTA dan IPTS, yang sedikit sebanyak membantu institusi zakat untuk mengembangkan usaha dakwah dan agihan zakat menjadi lebih berkesan dan efisen.