LAWATAN HOSPITAL ERAT HUBUNGAN DENGAN MASYARAKAT



Serdang – Untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat, pemimpin masyarakat dan organisasi lain, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengadakan lawatan ke Hospital Serdang, pada 11 April.

Menurut ketua Operasi Wilayah Selatan (Daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang) LZS (MAIS), Shuami Mohamad Ali, lawatan tersebut adalah salah satu aktiviti tahunan LZS (MAIS) Wilayah Selatan dan ia diadakan saban tahun bagi mengeratkan hubungan diantara institusi zakat dan masyarakat.

“Menziarahi pesakit adalah perkara dituntut oleh agama Islam. Hukumnya adalah sunat muaakad dan besar fadlilatnya. Menziarahi pesakit juga akan menjadi penghibur kepada mereka dan dapat mengurangkan kesedihan mereka.

“Selain itu mengembirakan orang yang sakit adalah ubat bagi jiwa mereka dan pahala bagi yang menziarahinya. Oleh itu LZS (MAIS) terpanggil untuk sama merasai dan menziarahi pesakit agar mereka merasai bahawa masih ada yang mengambil berat tentang penderitaan yang mereka alami,” jelas beliau.

Pada hari itu peserta lawatan telah dibawa melawat ke wad nefrologi, ortopedik, kanak-kanak dan unit haemodialisis selain berkesempatan memberikan buah tangan berupa hamper kepada 103 orang pesakit.

Turut hadir pada majlis itu, Orang Besar Daerah Sepang, Y.D.M Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Prof. Madya Tengku Dato, Dr. Jamaludin Tengku Mahmud Shah Alhaj dan Pengarah Hospital Serdang, Dr. Haji Za’ba Baba.

Hadir sama Pengurus Besar LZS (MAIS), Haji Ahmad Shahir Makhtar dan Pegawai Agama Islam Daerah Sepang Haji Abdul Halim Mt. Esa.