LAPAN BUAH SYARIKAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN HAMPIR RM1 JUTA



Tarikh : 6/24/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 24 Mei 2010 – Lapan buah syarikat hari ini menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM796,358.00 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Antaranya Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd yang membayar sebanyak RM280,000.00, Padiberas Nasional Berhad (RM158,935.00) dan Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd (RM140,000.00).

Mufti Selangor yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohamad Tamyes Abdul Wahid, menerima zakat tersebut dalam satu upacara di sebuah hotel di sini.

Berucap pada majlis berkenaan, Mohamad Tamyes menegaskan bahawa LZS sentiasa memastikan pengagihan zakat disalurkan untuk pembangunan ummah, khususnya membantu asnaf zakat agar maju dalam kehidupan. LZS juga katanya, akan sentiasa memastikan pengagihan wang zakat dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, dalam ucapannya mensasarkan jumlah kutipan zakat perniagaan sebanyak RM55 juta pada tahun ini berbanding RM51.7 juta pada tahun 2009. Untuk rekod, setakat bulan Mei 2010, kutipan zakat perniagaan di Selangor ialah sebanyak RM13.1 juta.

Dalam majlis yang sama, seramai lima orang menerima pelbagai bantuan zakat seperti pembinaan rumah, bantuan perubatan dan komputer riba yang kesemuanya berjumlah hampir RM100 ribu.