KUMPULAN DRB-HICOM BERHAD SERAH ZAKAT RM6.6 JUTA



Shah Alam, 29 Februari – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menerima zakat perniagaan kumpulan DRB-HICOM Berhad berjumlah RM6,644,172melibatkan 16 anak syarikat di bawah kumpulan DRB bagi tahun kewangan berakhir 2011.

Antara syarikat tersebut ialah Alam Flora Sdn Bhd, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Automative Corporation (M) Berhad, DRB-HICOM Auto Solution Sdn Bhd, Puspakom Sdn Bhd, HICOM Power Sdn Bhd, Suzuki Malaysia Sdn Bhd dan Defence Services Sdn Bhd.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa menerima pembayaran zakat tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Haji Mohd Zain Haji Hassan.
Dato’ Setia Mohamad Adzib dalam ucapannya berkata program ini mampu menjadi jambatan di antara pihak LZS dan pihak korporat di negeri Selangor serta dapat memartabatkan syiar Islam.

Pada tahun 2011, kutipan zakat di negeri Selangor meningkat sebanyak 20 peratus menjadi RM393.5 juta berbanding tahun 2010.

Majlis turut diserikan dengan Bicara Dhuha yang bertajuk ‘Zakat Kemanisan Yang Tiada Tandingan’ oleh Pegawai Dakwah Zakat LZS, Hashim Fikrie Al-Jawi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamaed Yusof, Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS, Sahadan Ishak dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat kumpulan DRB-HICOM Berhad.