KONVOI KEMBARA ZAKAT KEBANGSAAN 2013



HULU LANGAT, 4 Disember 2013 – Bersempena Bulan Zakat Kebangsaan 2013, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Pusat Zakat Negeri-Negeri mengadakan Konvoi Kembara ZakatKebangsaan 2013 di seluruh negara.

Konvoi bertemakan ‘Transformasi Zakat Mensejahterakan Ummah’  bertujuan menghebahkan aktiviti agihan zakat kepada masyarakat, di samping merapatkan ukhwah antara institusi zakat dengan para asnaf zakat dengan dipecahkan kepada tiga zon iaitu zon timur, zon selatan dan zon utara.
Bagi zon selatan, ia melibatkan institusi zakat di lima buah negeri iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Pusat Zakat Melaka, Pusat Zakat Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Johor yang bermula 2 Disember dan tamat pada 5 Disember di Wilayah Persekutuan. Seramai 68 orang peserta terlibat dengan konvoi pada kali ini.
Bagi aktiviti di Selangor, para peserta konvoi dibawa melawat Kaunter Zakat di Universiti Putra Malaysia. Kaunter zakat di sini merupakan ejen IPT yang dilantik LZS bagi mengutip dan mengagihkan zakat di UPM.
Dalam program yang sama juga, LZS turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM50,000 kepada Pusat Jagaan Siti Noraini dan RM25,000 kepada Pusat Jagaan Nurhasanah bagi membantu melancarkan operasi di kedua-dua pusat jagaan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.