KONVOI KEMBARA HIJRAH, KEMPEN TINGKAT KESEDARAN BERZAKAT



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terus menggandakan kempen membayar zakat sempena Bulan Zakat Negeri Selangor ini dengan menganjurkan program”Kembara Hijrah’ pada 15 Februari lalu.

Kempen konvoi berkereta ini bergerak melalui lokasi yang dikenalpasti dengan mengedarkan 7,000 risalah zakat. Selain itu, turut diadakan acara kuiz serta program ziarah ke Air Asia Berhad, dan Malaysia Airport Berhad iaitu syarikat yang menyertai skim potongan zakat gaji dengan LZS (MAIS).

Lokasi pengedaran risalah termasuk Plaza Tol Grand Saga, Cheras, pusat membeli belah Ampang Point dan Tesco Mutiara Damansara. Konvoi juga mengadakan kutipan untuk mengisi Tabung Mangsa Banjir TV3 di setiap lokasi.

Selain Skuad Dakwah Zakat (SDZ) LZS (MAIS), program Kembara Hijrah ini turut disertai Waja Charity Club serta wakil daripada syarikat korporat.

Konvoi dilepaskan oleh Pengerusi LZS (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Masjid Negeri di sini dan berakhir di Sri Pentas, Bandar Utama. Beliau turut menyerahkan hasil kutipan tabung banjir yang dikutip kumpulan konvoi kepada pihak TV3 sebanyak RM2315 dan sumbangan LZS (MAIS) kepada tabung tersebut berjumlah RM100,000.

Turut hadir, Pengurus Besar LZS (MAIS) Ahmad Shahir Makhtar.