KONVENSYEN ASNAF ZAKAT KUMPUL LEBIH 1500 ORANG FAKIR MISKIN BEROTENSI



Shah Alam– Konvensyen Asnaf Zakat yang diadakan di sini pada 25 Februari lalu telah mencatatkan sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 1,500 orang asnaf fakir miskin yang berpotesi dalam bidang keusahawanan daripada seluruh daerah negeri Selangor.

Konvensyen yang bertujuan memberikan penghargaan kepada asnaf zakat yang berjaya dibentuk hasil program pembangunan ekonomi LZS (MAIS) itu turut bertujuan menyediakan platform ‘pertama’ untuk kelompok asnaf fakir miskin yang produktif yang dikenalpasti bagi didedahkan dengan program pembangunan ekonomi LZS (MAIS).

Selain itu ia juga bertujuan memberi maklumat ‘signifikan’ berhubung menjana pendapatan tambahan dan pembentukan karekter keusahawanan, memberi motivasi dan pembentukan nilai positif kepada peserta untuk membuat anjakan paradigma khususnya dalam hal menjana pendapatan tambahan.

Antara pengisian konvensyen itu ialah sesi motivasi bertajuk Hijrah Menjana Perubahan yang dikendalikan oleh En. Zul Ramli, Pearl Mentor Sdn Bhd diikuti dengan sesi perasmian dan penyampaian anugerah, seterusnya pembentangan yang bertajuk Memulakan Langkah-Modul Pembangunan Ekonomi LZS (MAIS) oleh En. Aidi Munawer Ahmed Shukri, Pengurus Jabatan Pembanguan Asnaf LZS (MAIS).

Sesi diteruskan dengan motivasi bertajuk Langkah Ke Hadapan oleh En. M. Shariff Abu Bakar, Faisley Management Servise dan diakhiri dengan sesi dialong di antara peserta dan panel pembentang.

Majlis telah dirasmikan oleh Ahli EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia & Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Palil yang mewakili Y.A.B Dato’ Seri Dr. Hj. Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan tahniah kepada LZS (MAIS) kerana berjaya menghimpunkan seramai lebih 1500 orang asnaf zakat yang berpotensi dalam bidang keusahawanan.

Baginya LZS (MAIS) adalah institusi pertama yang berjaya mengumpulkan fakir miskin sebegini ramai dalam satu majlis. Beliau berharap dengan adanya majlis begini akan menyuntik semangat asnaf untuk terus berjaya. Selain itu beliau juga berharap asnaf ini akan menekankan aspek pendidikan kepada anak-anak agar mereka akan berjaya dan mampu membantu keluarga dalam kehidupan.

Turut hadir di majlis itu Pemangku Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar.