KENYATAAN MEDIA



KENYATAAN MEDIA OLEH

HAJI MOHAMED IZAM MOHAMED YUSOF, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF LEMBAGA ZAKAT SELANGOR BERKAITAN SIARAN AKHBAR / BERITA MENGENAI BANTUAN ZAKAT YANG DITERIMA ANAK AHLI PARLIMEN SHAH ALAM

1. LZS SALUR ZAKAT DENGAN TELUS TANPA MENGIRA FAHAMAN DAN LATAR BELAKANG POLITIK

Sepertimana yang dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam semasa  merasmikan Bangunan Zakat Selangor awal tahun ini, baginda menyarankan agar zakat diagih dengan adil dan telus tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik seseorang. Sebaliknya, yang menjadi pertimbangan adalah keadaan diri mereka. Seandainya seseorang itu layak, maka mereka hendaklah dibantu sebagaimana sepatutnya.

Sehubungan itu, LZS sejak sekian lama telah mempraktikkan perkara seperti yang disarankan baginda dalam mengagihkan bantuan zakat.  Sepertimana yang telah termaktub di dalam Al-Quran, pengagihan bantuan zakat adalah berdasarkan hukum (al-Quran dan hadis) serta kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebelum satu-satu bantuan itu dilaksanakan.

LZS berpegang kepada prinsip Muraqabah (pengawasan & kawalan yang paling rapi) bagi memastikan zakat diagihkan dengan telus, cepat, menyeluruh dan berkesan melalui pemantauan pihak yang pakar dan berautoriti serta diaudit oleh badan berwajib.

LZS juga mengagihkan zakat tanpa berkompromi tetapi dengan penuh hemah melalui syarat utama penerimaan zakat iaitu: beragama Islam serta lahir dan menetap/bermastautin/tinggal tetap di negeri Selangor tidak kurang tiga (3) tahun dan masih menetap di negeri Selangor.

Di dalam proses semakan dan siasatan bagi setiap permohonan zakat, LZS TIDAK PERNAH MELIHAT LATARBELAKANG POLITIK SEBAGAI PERTIMBANGAN MELULUSKAN ATAUPUN MENOLAK PERMOHONAN BANTUAN ZAKAT.

2. BANTUAN UMUM PELAJARAN

Bantuan umum pelajaran adalah salah satu bentuk bantuan zakat yang disalurkan bertujuan meringankan bebanan ibubapa atau penjaga atau pelajar bagi membiayai keperluan pengajian mereka. Walau bagaimanapun, bantuan ini hanya disalurkan jika menepati syarat-syarat dan kelayakkan yang telah ditetapkan dan terbuka kepada mereka yang bukan fakir dan miskin.

Bantuan umum pelajaran ini diberikan kepada tiga kategori iaitu kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, Institut pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S) dalam negara dan iInstitut pengajian tinggi luar negara.

Antara syarat utama ialah, jumlah pendapatan ibu bapa iaitu kurang RM3,000 sebulan bagi peringkat sekolah rendah dan menengah, kurang RM5,000 sebulan bagi  peringkat IPTA/S dalam negara dan pendapatan  kurang daripada RM20,000 sebulan bagi peringkat institusi pengajian tinggi luar negara. Selain jumlah pendapatan ibu bapa, pemohon yang mendapat bantuan dari pihak lain tetapi tidak mencukupi dan mempunyai tanggungan anak yang masih belajar juga termasuk dalam syarat permohonan.

Bantuan yang diberikan ini adalah di bawah peruntukkan asnaf fisabillilah dan diberikan hanya setahun sekali.  Jumlah bantuan yang disalurkan adalah bergantung kepada peringkat pengajian sama ada sijil, diploma dan ijazah pertama. (rujuk jadual kadar BUP).

Pada tahun lepas (2010), sebanyak RM14.6 juta bantuan di bawah kategori ini telah disalurkan kepada seramai 17,937 orang pelajar termasuk yang belajar di sekolah mahupun di universiti (dalam & luar negara).

Selain itu, LZS juga menyalurkan bantuan DERMASISWA kepada anak-anak bukan fakir miskin iaitu mereka yang berpendapatan dibawah RM3,000 dan tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.  Kadar bagi bantuan ialah mengikut jumlah yuran pengajian.

3. BANTUAN PENDIDIKAN UNTUK FAKIR DAN MISKIN

Komitmen LZS terhadap pendidikan anak asnaf diteruskan dengan menyediakan bantuan untuk anak-anak asnaf yang memulakan persekolahan pada sesi 2010 membabitkan bantuan yuran serta kelengkapan persekolahan.

Seramai 30,399 anak asnaf fakir dan miskin telah menerima bantuan persekolahan untuk memulakan sesi 2010.

Selain itu, sebanyak 143 buah sekolah di Selangor melibatkan seramai 13,876 pelajar disalurkan bantuan sebanyak RM1.9 juta dalam Program Sekolah Angkat.  Program ini bermatlamat membantu pelajar-pelajar miskin yang belajar di sekolah terbabit melalui modul yang ditetapkan merangkumi kursus, latihan, kelas tambahan dan sebagainya.

Bantuan pendidikan yang diberikan tidak hanya diperuntukan untuk pelajar di peringkat persekolahan, malahan berlanjutan ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Ia meliputi yuran pengajian, pemberian wang saku sebanyak RM300 sebulan, pembelian komputer riba, keperluan pendidikan, penginapan, pengangkutan dan sebagainya. Pendek kata, kos keseluruhan pengajian ditanggung sepenuhnya oleh zakat dan pelajar asnaf ini hanya perlu fokus untuk menghabiskan pengajian dengan keputusan cemerlang.

Dengan pencapaian 1,921 orang anak asnaf  fakir dan miskin yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT awam dan swasta pada tahun 2010 menunjukkan kualiti pendidikan mereka boleh digilap hasil dari kesungguhan dan bantuan zakat.

Pada tahun lepas (2010), sebanyak RM28 juta bantuan telah disalurkan pelajar terdiri daripada anak-anak fakir dan miskin termasuk yang belajar di sekolah mahupun di universiti (dalam & luar negara).

4.BANTUAN YANG DITERIMA OLEH ANAK YB ABDUL KHALID SAMAD

Anak beliau belajar di universiti di Jordan dalam bidang pengajian Islam telah menerima bantuan umum pelajaran sejak tahun 2004 sehingga 2008. Anak beliau telah menerima bantuan berjumlah RM1,000 sahaja setiap tahun bagi menampung sebahagian keperluan pengajian seperti membeli buku-buku rujukan.

Permohonan anak beliau diluluskan pada ketika itu (2004) adalah berdasarkan ia (permohonan) menepati syarat-syarat dan kelayakan permohonan yang telah ditetapkan sepertimana permohonan-permohonan yang lain, bukan atas sebab lain.

5.KETELUSAN PERMOHONAN BANTUAN

Bagi memastikan ketelusan bantuan pendidikan ini, LZS telah mewar-warkan melalui iklan di media dan portal LZS kepada masyarakat terutamanya ibu bapa di negeri Selangor yang anak mereka telah menerima tawaran belajar di universiti yang terpilih, agar memohon bantuan zakat yang disediakan.

6.PENEGASAN

Mana-mana pihak diingatkan supaya tidak mempolitikkan isu zakat kerana ia akan melemahkan institusi Islam secara amnya dan institusi zakat secara khususnya. Peranan zakat ialah untukmembantu umat Islam dan bukan semata-mata kepada golongan fakir dan miskin sahaja. Di bawah bantuan umum pendidikan dan dermasiswa ini, sesiapa sahaja boleh memohon dan akan dibantu sekiranya layak.  Kepada mereka yang ingin memohon, sila kunjungi 24 kaunter LZS di seluruh Selangor atau hubungi Talian Zakat Selangor di talian

1 800 88 5353.