KENYATAAN AKHBAR PENCAPAIAN AGIHAN DAN KUTIPAN ZAKAT NEGERI SELANGOR 2015



  • Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
  • Terima kasih kepada wakil-wakil media yang hadir pada hari ini.
  • Sukacita saya ingin memaklumkan beberapa perkara mengenai pencapaian agihan dan kutipan zakat Negeri Selangor bagi tahun 2015.

1. PRESTASI KESELURUHAN KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT 2015

Dalam usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni asnaf dan memudahkan pengeluar zakat, alhamdulillah LZS telah mengagihkan zakat sebanyak RM676.3 juta dan mengutip sebanyak RM626.6 juta pada tahun 2015.

2. KUTIPAN ZAKAT (HARTA DAN FITRAH)

Jumlah kutipan zakat di Selangor pada tahun 2015 telah melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM626.6 juta berbanding RM582.3 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (2014).

Jumlah ini melebihi kutipan tahun 2014 dengan perbezaan sebanyak RM44.4 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM605.2 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM21.5 juta daripada zakat fitrah.

Untuk makluman, LZS telah mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM615 juta pada tahun 2015. Pecahan kutipan zakat adalah seperti berikut:

BILJENIS ZAKATRM (JUTA)
1.PENDAPATAN         385,894,374
2.PERNIAGAAN         117,169,148
3.SIMPANAN           38,084,068
4.HARTA           37,971,374
5.SAHAM           10,149,670
6.KWSP              9,727,930
7.EMAS              2,501,603
8.TANAMAN              2,486,838
9.QADA              1,062,054
10.TERNAKAN                   54,053
11.PERAK                   50,870
JUMLAH KUTIPAN ZAKAT HARTA605,151,981
12.FITRAH21,496,174
JUMLAH KESELURUHAN KUTIPAN ZAKAT 2015626,648,155

3. JUMLAH PENGELUAR ZAKAT HARTA

Jumlah pengeluar zakat harta bagi tahun 2015, ialah seramai  256,540 orang (meningkat 3 peratus) berbanding tahun sebelumnya 2014 iaitu seramai 248,013 orang.

4. AGIHAN ZAKAT

Pada tahun 2015 yang lalu, MAIS melalui LZS telah mengagihkan wang zakat kepada golongan yang layak di selangor sebanyak RM676.3 juta berbanding RM595.7 juta pada tahun sebelumnya (2014). Jumlah pengagihan ini dilihat meningkat sebanyak 14 peratus dengan perbezaan sebanyak RM80.6 juta.

Pecahan agihan zakat mengikut asnaf adalah seperti berikut:

BILASNAFRM (JUTA)
1Fakir98,084,005
2Miskin    202,072,866
3Amil      78,331,019
4Muallaf      53,745,549
5Fisabilillah    161,011,983
6Gharim      59,536,093
7Ibnu sabil       1,202,193
8Riqab      22,323,387
JUMLAH KESELURUHAN AGIHAN ZAKAT 2015  676,307,095

5. ASNAF FAKIR DAN MISKIN 

Bilangan asnaf fakir yang menerima bantuan pada tahun lepas (2015) ialah seramai 13,138 keluarga. Manakala bagi asnaf miskin adalah seramai 31,155 keluarga.

Oleh itu, jumlah keseluruhan fakir dan miskin pada tahun lepas (2015) adalah seramai 44,293 keluarga.

Dalam masa yang sama juga, LZS meneruskan program turun padang bagi mencari fakir dan miskin dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK).

Sebanyak 21 siri SJK telah dilaksanakan di seluruh Selangor sepanjang tahun 2015. Melalui SJK 2015, seramai 477 keluarga telah ditemui dan didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Pada tahun 2015, seramai 173 orang penerima bantuan zakat telah keluar dari kategori asnaf. Mereka ini terdiri daripada penerima bantuan modal perniagaan yang disediakan oleh lzs.

Sementara itu, 340 keluarga yang menjadi penerima zakat pada tahun 2015 turut keluar daripada kategori asnaf hasil daripada siasatan semasa yang dilaksanakan oleh LZS menggunakan garis penentuan fakir dan miskin iaitu haddul kifayah.

_MG_6418

6. SASARAN AGIHAN DAN KUTIPAN ZAKAT 2016

Mengambil kira faktor kesedaran mengeluarkan zakat yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat dan peningkatan jumlah asnaf fakir dan miskin serta asnaf-asnaf lain pada saban tahun, maka LZS meletakkan sasaran kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2016 adalah sebanyak  RM645 juta.

7. LAIN-LAIN HAL

Dalam usaha meneraju perubahan bagi menyantuni asnaf dan memudahkan pengeluar zakat, beberapa inisiatif telah dilaksanakan. Ini termasuklah:

     a) Penambahan cawangan LZS

LZS telah menambah dua cawangannya iaitu di Klang dan Cyberjaya. Ini menjadikan keseluruhan cawangan LZSsebanyak 28 buah di setiap daerah. Penambahan cawangan ini bagi memberi kemudahan kepada asnaf dan pengeluar zakat berurusan dengan LZS.

     b) Pusat Dialisis Bukit Jelutong

LZS dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan membuka Pusat Dialisis MAIS bertempat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. Ia dibina bertujuan memberi perkhidmatan dan rawatan dialisis kepada asnaf fakir, miskin dan gharimin di mana kos rawatan ditanggung oleh LZS. Pusat dialisis ini dijangka akan beroperasi pada bulan April 2016.

     c) Pembinaan Rumah Kekal Kepada Asnaf Yang Terlibat Banjir Kelantan

LZS telah membina penempatan di satu kawasan baru bagi 60 keluarga fakir dan miskin di daerah Kuala Krai yang terbabit dengan banjir besar pada penghujung disember 2014 melibatkan sumbangan wang zakat berjumlah RM10.2 juta.

Antara kemudahan asas yang telah dibina ialah stesen TNB, tangki air, jaringan jalan raya, enam buah lot perniagaan, dewan serba guna dan sebuah surau yang boleh menampung jemaah seramai 300 orang.

Pembinaan Laman Seri Ehsan bertujuan untuk menyediakan kediaman selesa kepada asnaf fakir dan miskin yang ditimpa musibah banjir melalui manfaat daripada dana zakat di Selangor.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan menyampaikan kunci rumah di Majlis Perasmian Dan Pengurniaan Kunci Rumah Kepada Mereka Yang Ditimpa Musibah Banjir Di Laman Seri Ehsan, Kampung Telekong pada 26hb Januari yang lalu.

Sekian.

Kenyataan daripada:

Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)